Tuesday, January 31, 2012


KAHERAH, 31 Jan - Medan dakwah dalam kehidupan masyarakat kini mampu diaplikasikan dalam pelbagai bentuk medium penyampaiannya.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa masyarakat semakin bijak dalam memanfaatkan segala kemudahan yang ada.

Antara medium yang terbaik adalah bidang penulisan sehingga kemunculan pelbagai penulis-penulis muda yang sering meghiasi dunia penulisan.

Tanpa mengira latar belakang yang pelbagai penulisan mereka mampu diterima oleh masyarakat dewasa kini.

Kedatangam wakil PTS Media Group digunakan dengan sebaik yang mungkin dengan menganjurkan " Seminar Penulis Azhari" dibawah kelolaan Kem Latihan Penulis
(KELAP PMRAM) Badan Penerangan & Penerbitan PMRAM 2011.

Sambutan yang begitu menggalakkan daripada ahli PMRAM Cawangan sehingga pendaftran yang diterima begitu memberangsangkan .

Seminar yang diadakan di Dewan Darul Iman, Rumah Terengganu membuktikan golongan Azhari juga perlu mewarnai dunia penulisan tempatan dalam pelbagai genre.

Pengisian yang diberikan oleh Saudara Imran Azmi mewakili PTS Islamika dan Saudara Faris Hasbullah mewakili PTS Darul Furqan begitu menarik peserta untuk mengetahui kepentingan penulisan dikalangan Azhari.

" PMRAM sentiasa menyediakan pelbagai medium lapangan yang terbaik kepada ahli PMRAM mengaplikasikan segala keperluan semasa bagi melebar luaskan dakwah Islam dikalangan masyarakat kelak" ujar Saudara Zulhafeez bin Ahmad Zahidi selaku Ketua Badan Penerangan & Penerbitan PMRAM 2011.

Read more ...

Monday, January 30, 2012

Akan datang!!!

Read more ...

Sunday, January 29, 2012

PROMOSI HEBAT !! T-Shirt HEWI PMRAM

Read more ...

Thursday, January 26, 2012

IBRAH SEBATANG PENSIL

Apa yang anda tahu tentang sebatang pensil?

Ada 5 perkara yang boleh kita pelajari dan terjemahkan.

Pertama, pensil ini mengingatkan jika kamu boleh membuat sesuatu yang hebat dalam hidup ini, JANGAN LUPA, ibarat pensil, ada tangan yang memegangnya.

Maka, ingatlah akan adanya kuasa membimbing langkah hidup kita. Iaitu Allah S.W.T. Dia akan selalu membimbing kita menurut ketentuan-Nya.

Kedua, ketika menulis, pensil kerap tumpul. Kita terpaksa berhenti untuk mengasahnya. Pensil ini pasti menderita ketika diraut,tetapi hasilnya ia menjadi tajam dan bagus tulisannya.


Begitu juga akan berlaku dalam hidup kita. Kita mesti berani menempuh kesusahan kerana ia menjadi baja atau sebab untuk diri kita menjadi lebih baik.


Ketiga, pensil ini mungkin menghasilkan tulisan yang salah. Namun kita boleh memadam dan membetulkan tulisan itu semula.


Begitulah yang diharapkan agar kita sentiasa memperbaiki kesalahan dalam hidup. Ia bukanlah sesuatu yang hina kerana dengan memperbaiki kesalahan, kita akan sentiasa berada dijalan yang benar.

Seterusnya, tahukah anda, mana yang lebih penting? Luar atau isi pensil ini?


Sudah tentu karbon didalamnya. Oleh sebab itu, berhati-hatilah dengan apa yang tidak baik dalam diri kita dan hindarilah.


Dan ibrah yang terakhir, pensil ini meninggalkan kesan atau goresan.
Begitu juga kita, apa sahaja yang kita buat pasti akan meninggalkan kesannya pada diri kita atau orang lain. Oleh itu,kita hendaklah selalu berhati-hati dan bijak dalam bertindak.

“Dan diantara tanda-tanda (kebesaranNya), Dia memperlihatkan kilat kepadamu untuk menimbulkan ketakutan dan harapan, dan Dia menurunkan air hujan dari langit, lalu dengan air itu dihidupkannya bumi setelah mati kering.Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mengerti” (Ar-Rum :24)


Kesimpulannya, banyak lagi ibrah lain yang dapat diambil. Sebagaimana contoh ayat dari surah Ar-Rum diatas. Bahkan bukan sahaja daripada sebatang pensil, malah seluas semesta alam ini dapat dijadikan sebagai ibrah dan aplikasikan dalam kehidupan. Hanya kita sahaja yang tidak endah atau tidak mahu memikirkan apa yang dapat dijadikan teladan buat diri kita.
Read more ...

Sunday, January 22, 2012

Isu Urusan Visa: PMRAM Prihatin


KAHERAH , 22 Jan - Berikutan isu kesulitan yang dihadapi oleh Mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang berurusan di Imegeresen Mesir untuk memperbaharui tempoh sah laku visa, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir ( PMRAM) telah melakukan perbincangan untuk mencari penyelesaian bagi masalah ini.

Masalah kesulitan dan kesesakan yang berlaku adalah berikutan pihak Imegresen Mesir telah menetapkan hanya satu hari sahaja dalam seminggu untuk warganegara Malaysia memperbaharui tempoh sah laku visa mereka. Ini mengakibatkan mereka terpaksa beratur panjang untuk menyelesaikan urusan tersebut.

Atas kesulitan yang dihadapi, satu bancian akan dibuat di peringkat PMRAM untuk mengumpul maklumat penuh berkaitan bilangan mahasiswa dan mahasiswi yang telah tamat tempoh sah laku visa mereka. Maklumat yang diperlukan termasuklah:

1. Nama Penuh.

2. Nombor passport.

3. Tempoh tamat visa.

Bancian ini akan dilakukan selama lima hari bermula esok sehingga hari jumaat iaitu daripada tarikh 23 - 27 januari 2012.

Justeru, pihak PMRAM mengharapkan kerjasama daripada seluruh mahasiswa dan mahasiswi untuk memberikan maklumat yang diperlukan dengan merujuk terus kepada unit kebajikan di peringkat BKAN masing-masing supaya tindakan susulan di peringkat PMRAM dapat dilaksanakan.

'Isu urusan visa merupakan isu kebajikan yang turut berkaitan secara langsung dengan isu keselamatan yang amat dititikberatkan oleh PMRAM. Oleh yang demikian, PMRAM sentiasa berusaha untuk mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah yang berlaku dan komitmen seluruh mahasiswa dan mahasiswi amat diharapkan', ujar Saudara Syeikh Muhd Mujahid bin Sikh Nawawi, Naib Presiden III, merangkap Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM 2011.


Read more ...

Thursday, January 19, 2012

Syariah: Makna dan Dasarnya


بسم الله الرحمن الرحيم ، الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله ومن ولاه

Di dalam melaksanakan syariah Islam di dalam negara, terdapat aulawiyat yang perlu dipatuhi oleh mereka yang diizinkan Allah memegang tampuk kekuasaan.Berikut adalah sedikit perkongsian yang diolah kembali daripada rakaman temuramah bersama Dr Yusof al-Qardhawi di bawah tajuk “Syariah: Makna dan Dasarnya,” menerusi rancangan Syariah Dan Kehidupan, saluran al-Jazeera.

Muqaddimah


Terlebih dahulu beliau mengucapkan tahniah kepada saudara-saudara kita di Mesir yang telah berjaya menjalani pilihanraya dengan ketiga-tiga peringkat dan memilih calon-calon yang disokong oleh sebahagian besar rakyat.Tidak mungkin seluruh semuanya manusia boleh bersepakat di atas suatu perkara, ini sememangnya tabiat manusia. Maka, jika sebahagian besar manusia menyokong, sudah menandakan satu kebaikan, Insya Allah. Beliau mengucapkan tahniah dan mendoakan mereka mendapat petunjuk dalam melalui peringkat yang seterusnya.

1) Takrif syariah:

ما شرعه الله لعباده من الأحكام

“Segala perkara yang Allah syariatkan kepada hambaNya, daripada hukum hakam.”

Ada di antaranya suruhan dan ada pula larangan. Ada di antaranya yang berkaitan dengan ( كيفية العمل ) ‘cara beramal’ dan dinamakan sebagai ( فرعية وعملية ) ‘cabang dan amalan.’ Ilmu yang berkaitan dengannya dinamakan sebagai ilmu fiqh, syariah dan hukum. Dan ada pula yang berkaitan dengan ( أصل العمل ) ‘dasar amalan’ dan dinamakan sebagai ( أصلية واعتقادية ) ‘usul dan pegangan.’ Ilmu yang berkaitan dengannya dinamakan sebagai ilmu kalam, tauhid atau aqidah

2) Syariah dan agama:

Jika berdasarkan takrif di atas, syariah itu sendiri adalah agama. Namun sebahagian ulama membezakan antara penggunaan kalimah syariah kepada maksud yang lebih khusus, iaitulah hukum hakam fiqh.Sebagaimana di al-Azhar dinamakan kuliah yang menumpukan pengajian fiqh sebagai kuliah syariah, dan kuliah yang mengaji akidah dinamakan kuliah usuluddin. Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikuhul Azhar pernah mengarang sebuah kitab bertajuk “Islam itu Aqidah dan Syariah.”
3) Kenapa Allah turunkan Syariah?

Firman Allah taala:

لقد أنزلنا رسلنا بالبينات وأنزلنا معهم الكتاب والميزان ليقوم الناس بالقسط
كتاب أنزلناه إليك لتخرج الناس من الظلمات إلى النور

Allah taala maha kaya daripada hambaNya, Dia tidak berhajat kepada sesuatu daripada hambaNya. Di dalam ayat pertama disebut: “Agar manusia menegakkan keadilan,” ayat kedua “Mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya.”

Secara ringkasnya, syariah adalah:

كل ما يهدى الناس في الحياة إلى الطريق القويم والتوازن

Setiap perkara yang menyusun kehidupan dan memandu kepada jalan yang lurus dan sistematik, itulah tugasan syariah, agar mereka mendapat kebaikan di dunia, dan di akhirat.

4) Sumber-sumber syariah:

Syariah diambil daripada dalil-dali syarak. Terdapat dua jenis dalil:

Pertama dalil yang disepakati.
Iaitulah al-Quran yang merupakan sumber yang paling utama, kemudian sunnah, ijmak dan qias.

Jenis yang kedua pula dalil yang terdapat perselisihan antara ulama seperti amalan umat terdahulu, masaleh mursalah, istihsan, uruf, istishab dan sebagainya (rujuk kitab-kitab usul fiqh) .

Semua sumber-sumber ini sudah memadai bagi menyelesaikan setiap permasalahan manusia.
5) Apakah perkara yang ( الثابت ) ‘tetap.”?

Perkara yang ( الثابت ) ‘tetap’ dan tidak akan berubah adalah yang berkaitan dengan akidah, ibadah yang asas, akhlak-akhlak yang utama, nilai murni dan perkara (الرذائل ) ‘yang dipandang keji’, halal dan haram, perkara-perkara yang dasar yang berkaitan dengan individu, mencari pekerjaan halal, berpakaian menutup aurat, makanan halal, hubungan antara suami isteri, kaum kerabat, hak-hak asas masyarakat, pemerintah, rakyat dan sebagainya. (Yakni perkara yang sudah diijmak dan bukan tempat ijtihad)
6) Apakah perkara ( المتغير ) ‘boleh berubah’ dan syarat-syaratnya?

Perkara yang ‘boleh berubah’ adalah selaindaripada perkara sabit. Iaitulah yang bukannya dari masalah akidah, ibadah, akhlak-akhlak utama, bukan juga dari hukum qatie yang tidak menerima sebarang perubahan, seperti masalah pewarisan harta yang sudah disebutkan secara jelas di dalam al-Quran dan hadis, kerana sudah disepakati oleh seluruh umat. Perkara sabitini tidak menerima perubahan atau ijtihad.

Perkara mutaghayyir adalah cukup banyak iaitulah segala perkara yang boleh dimasuki ijtihad.Ia dikaji di dalam ilmu fiqh dengan perbahasan yang cukup meluas. Daripada sini timbulnya perubahan fatwa. Fatwa boleh berubah mengikut 4 perkara: masa, tempat, uruf (adat setempat) dan keadaan.

Jadi di sana terdapat perkara yang boleh berubah, dan ada perkara yang tidak berubah, Iaitulah perkara yang menjadi dasar dan asas agama.

7) Perlaksanaan Syariah

Sebahagian manusia apabila mendengar kalimah undang-undang syariah terus rasa takut.Seolah-olah syariah tidak mampu memberikan keadilan.

Sebenarnya syariah adalah amat bertepatan dengan nas dan akal manusia.Ia akan dilaksanakan sebagaimana dilaksanakan undang-undang biasa. Bukan bermakna apabila kita mahu melaksanakan syariah terus kita memotong tangan pencuri.

Saya berpendapat perkara ini tidak akan boleh terus dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun yang terdekat. Kita sebenarnya amat berhajat untuk mendahulukan perlaksanaan dasar, yang berkaitan dengan akidah, akhlak, ekonomi, ilmu tentang syariah.

Terdapat dua juta penduduk jalanan di Mesir sekarang, yang tidak mempunyai pendidikan. Adakah apabila kita melaksanakan syariah kita terus akan memotong tangan mereka? Terlebih dahulu kita perlu mengajar mereka, memberi pemahaman, memenuhi keperluan terhadap perkerjaan, pengetahuan, dan keperluan asas.Semua ini perlu dilaksanakan sebelum dilaksanakan hudud.Bukankah Nabi memulakan dakwahnya dengan membetulkan akidah dan menanam pemahaman selama 10 tahun di Mekah.

Baginda terlebih dahulu menjelaskan halal dan haram, membersihkan jiwa dan mempersiapkan manusia untuk melaksanakan syariah. Setiap pihak yang akan memegang tampuk pemerintahan amat perlu memahami perkara ini terlebih dahulu.

8) Berperingkat di dalam melaksanakan syariah

Hukum syariah banyak memberikan contoh kepada tadarruj. Contohnya pengharaman arak. Arak diharamkan menerusi beberapa peringkat di dalam beberapa ayat.

Lihatlah bagaimana Allah mencipta segala perkara secara berperingkat-peringkat?Ini adalah sunnah yang perlu diraikan.

Bukan hudud sahaja syariah Islam. Tetapi banyak lagi hukum hakam syariah yang lain.
9) Siapakah yang boleh melaksanakan syariah. Negara atau umat?

Sebahagian perkara syariah boleh dilaksanakan tanpa memerlukan kuasa.Contohnya makan, sembahyang, bekerja, semua perkara ini boleh dilaksanakan mengikut syariah tanpa memerlukan kepada negara.

Adakah saya perlu menunggu perintah makan, baru saya makan?Tidak.Perkara berkaitan mencari rezeki yang halal mampu saya laksanakan sendiri tanpa negara.Syariah adalah semua perkara yang berkaitan dengan mukallaf, buat atau tinggalkan.

Adapun perkara besar seperti hukuman hudud, hanyalah boleh dilaksanakan oleh negara. Jadi, setiap orang melaksanakan apa yang dituntut daripadanya. Tidak boleh seseorang melakukan perkara diluar bidang kuasanya.Perintah untuk melaksanakan hudud dituju kepada seluruh
umat.Tetapi yang boleh melaksanakan hanyalah pemerintah. Jika pemerintah tidak melaksanakan hudud, maka semua akan berdosa. Umat dituntut untuk memastikan pemerintah melaksanakan hudud.
10) Bolehkan satu golongan melaksanakan hudud sendiri?

Tidak boleh.Tidak boleh sekumpulan manusia melaksanakan hudud

sendiri.Mestilah negara yang melaksanakannya. Firman Allah taala:

يأيها الذين ءامنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولي الأمر منكم

Ulil Amri adalah ulama dalam bidang kuasanya, dan pemerintah dalam bidang kuasanya.

Pemerintah perlu ditaati di dalam perkara yang Allah taala perintahkan kepadanya untuk dilaksanakan.Merekalah yang bertanggungjawab dalam perkara tersebut.Umat pula perlu membantu mereka. Jika kita menangkap pencuri, kita perlu mengajarkan dia bahawa perkara ini salah, bagaimana cara mencari rezeki.Kita tidak boleh terus memotong tangannya sebelum asas-asas ini bertapak kemas.

11) Khilaf antara mazhab

Kebanyakan hukum syariah mempunyai khilaf.Hanya sedikit sahaja yang tiada khilaf. Sesiapa yang mengkaji ilmu fiqh muqaran akan mendapati kebenaran kata-kata ini. Setengah orang mengatakan kita perlu berpegang kepada zahir nas. Tidak. Syariah mempunyai maqasid dan matlamatnya. Maqasid ini perlu diraikan.

Ibnu Taimiyah melarang orang menegah tentera Tartar minum arak. Arak diharamkan kepada kita kerana ia menyibukkan kita daripada mengingati Allah.

Tetapi arak adalah lebih baik buat mereka, kerana arak menyibukkan mereka daripada membunuh. Ini adalah satu contoh pandangan terhadap maqasid.

Seorang muslim perlu melihat dimanakah tarjih. Banyak pendapat bukan bermakna kita perlu mengambil semua pendapat.Tidak.Bahkan kita perlu meneliti yang manakah lebih rajih, dan mempunyai maslahah yang paling besar untuk manusia.

Kisah Ibnu Abbas, datang seorang bertanya kepadanya “Adakah pembunuh diterima taubatnya?” Ibnu Abbas melihat wajah penanya dan berkata “Pembunuh tidak diterima taubatnya.”Sahabat-sahabat beliau hairan dan bertanya kepadanya.Beliau menjawab “Aku melihat mukanya dipenuhi perasaan marah, dan dia ingin membunuh seorang mukmin.Maka aku ingin halang dia daripada membunuh.”Maka Ibnu Abbas telah menutup jalan orang tersebut daripada membunuh.Sedangkan sebelum itu beliau memberi fatwa bahawa taubat seorang pembunuh diterima Allah.

Daripada sini, para ulama berkata:

الفتوى قبل الابتلاء بالفعل غير الفتوى بعد الابتلاء بالفعل

“Fatwa sebelum sesuatu perbuatan dilakukan, adalah berbeza dengan fatwa selepas sesuatu perbuatan dilakukan.”

Lihat rakaman di dalam :http://www.youtube.com/watch?v=5modTQ70vFg


Disediakan oleh :

Mohd Kamal bin Mansor
Felo MANHAL PMRAM
Read more ...

Saturday, January 14, 2012

Mengenali Teknik Pihak Musuh Islam

Perjuangan Islam pastinya tidak akan disenangi oleh pihak musuh. Pihak musuh akan sentiasa merancang untuk menyekat kemaraan perjuangan Islam sehingga mereka berjaya mencabut Islam dari akar umbi dalam diri pemuda Islam.

Penentangan ke atas perjuangan Islam merupakan lumrah sejak zaman para nabi AS dahulu lagi. Bahkan tidak ada dalam satu sejarah bahawa perjuangan Islam akan diberikan layanan yang istimewa. Sedangkan Nabi Muhammad SAW turut mendpat kecaman dan tentangan daripada bapa saudaranya serta penduduk setempat dengan baginda SAW.
Pihak musuh akan merancang pelbagai teknik sehingga pemuda Islam melutut di hadapan mereka dan meninggalkan perjuangan Islam. Hal ini sebagaimana yang diingatkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran berkenaan perihal kaum Yahudi dan Nasrani serta golongan yang bersama dengan mereka sesekali tidak akan redha dan berdiam diri melihat perjuangan Islam sehingga pemuda Islam mengikuti mereka, iaitu meninggalkan Islam dan identiti Islam dihilangkan dalam diri pemuda Islam.
Maka kita mestilah mengenali teknik pihak musuh agar tidak terpedaya. Antara pendedahan teknik musuh ialah :
- Kesatuan Dianggap Sebagai Taaksub

Pihak musuh tidak akan senang melihat pemuda Islam yang berjuang bersatu dan mempunyai kesatuan yang utuh. Mereka akan melemparkan serta memomokkan bahawa kesatuan yang dipegang oleh pemuda Islam merupakan satu bentuk taaksub.

Mereka yang bersama-sama dengan gerakan Islam yang sebenar akan dimomokkan bahawa mereka adalah golongan taaksub. Momokan ini akan dijaja ke seluruh peringkat sehingga pemuda Islam meragui konsep kesatuan yang sedang dipegang tersebut.

Akhirnya, apabila pemuda Islam meragui dengan kesatuan tersebut, maka mereka akan memasukkan doktrin bahawa kumpulan-kumpulan yang ditubuhkan untuk memecah belahkan kesatua yang sedia ada sebagai salah satu juga medium yang mesti mereka menerima dalam kehidupan mereka. Apabila pemuda Islam terpedaya maka mereka akan bersama-sama dengan kumpulan yang membawa agenda perpecahan sekaligus menyebabkan kesatuan yang sedia ada runtuh.

Justeru, pemuda Islam mesti sedar bahawa ungkapan-ungkapan pihak musuh pastinya akan menimbulkan keraguan. Mereka tidak menyenangi kesatuan yang ada, dengan mereka memomokkan istilah taaksub. Sedangkan mereka sebenarnya menyeru ke arah kepada perpecahan. Dan inila realiti yang berlaku bahawa kesatuan itu dianggap taaksub manakala bersama-sama dengan perpecahan dianggap sebagai toleransi.

Sedangkan Allah SWT menyebut bahawa bersatu di atas tali Allah (Islam) dan jangan berpecah bela. Maka pemuda Islam mesti memahami 2 perkara iaitu :

1- Mesti bersatu dan memberikan komitmen yang penuh terhadap kesatuan tersebut.

2- Menolak perpecahan dan segala unsur yang membawa kepada perpecahan. Mereka yang bertoleransi serta bersama-sama dengan perpecahan bermakna mereka sedang menjayakan unsur perpecahan.

- Mewujudkan Perkumpulan Baru Yang Menentang

Pihak musuh akan mewujudkan pelbagai nama perkumpulan baru bagi menarik minat pemuda Islam untuk keluar daripada kesatuan yang sedia ada. Mereka mungkin tidak mampu mengharamkan kesatuan yang sedia ada atau tidak berani mengharamkan kesatuan yang sedia ada kerana bimbang pemuda Islam dapat menghidu teknik perpecahan yang dirancang. Namun mereka mengelirukan pemuda Islam dengan mewujudkan perkumpulan baru agar kesatuan yang sedia ada dipecahkan serta dibahagikan. Akhirnya, berjayalah agenda perpecahan yang mereka bawa.

Pemuda Islam mestil sedar bahawa pihak musuh tidak kisah sekiranya mereka tidak berjaya mengumpulan semua pemuda Islam untuk bersama-sama dengan mereka. Mereka hanya mahu kesatuan yang sedia ada itu dipecahkan sahaja. Itu sudah memadai bagi mereka.

Ibrah atau pengajaran yang boleh diambil dalam Surah Al-Fil, bagaimana Raja Abrahah yang tidak menyenangi kewujudan Kaabah di Mekah kerana berjaya menarik manusia serta pelabur-pelabur ke sana, dan akhirnya Raja Abrahah membina satu bangunan tiruan yang menyerupai Kaabah bagi mengalihkan pandangan manusia ketika itu daripada menuju ke Mekah.

Begitu juga dalam kisah masjid yang dibina oleh kaum munafik yang digelar di dalam Al-Quran sebagai Masjid Dhirar kerana dasar dibina akan masjid tersebut adalah untuk memecah belahkan kesatuan yang dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW ke atas umat Islam di Madinah ketika itu.

Ekoran tidak senang melihat kesatuan umat Islam dan melihat kewujudan masjid yang sedia ada sebagai medium menghimpumkan para sahabat ketika itu, kaum munafik membina sebuah masjid bagi memecahkan himpunan serta sekaligus kesatuan yang telah terbentuk. Dan akhirnya, Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Muhammad SAW mengenai tpu helah mereka, lantas baginda SAW membakar masjid tersebut. Hal ini demikian ia menjadi unsur perpecahan kepada kesatuan umat Islam.
Read more ...

Friday, January 13, 2012

Nilai Islam Dalam Penyampaian Maklumat

Media arus perdana hari ini semakin rancak dalam mempersembahkan beberapa isu tempatan dan luar negara tidak kira samada berkaitan dengan politik,isu semasa,agama dan seumpamanya.

Dengan pelbagai saluran penyampaian maklumat yang telah disajikan kepada masyarakat umum sebagai santapan maklumat tentang perkara yang berlaku seputar.

Namun begitu, di atas landasan Islam ada beberapa perkara yang perlu diketahui dan ianya begitu penting untuk difahami seiring dengan kemajuan teknologi penyampaian maklumat yang serba canggih dewasa kini.

Semakan Ketepatan Maklumat Dan Fakta

Dalam Islam, fakta-fakta yang diterima hendaklah ditapis, dikaji dan disahkan kebenarannya sebelum disampaikan kepada orang lain.

Amalan menerima dan terus menyebarkan fakta kepada orang lain tanpa memeriksa dahulu ketepatan maklumat adalah jelas menyalahi ajaran Islam.

Perkara ini sejajar dengan peringatan daripada Allah SWT didalam Al-Quran yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”
[al-Hujurat:6]

Bentuk Penyampaian Maklumat Yang Berhikmah

Realiti dunia penyebaran maklumat kini seperti sudah semakin kehilangan nilai-nilai murni perwatakan dan peradaban selaku manusia yang dikurniakan akal maka apabila kita menghayati sejenak mengenai nilai hikmah yang telah diberitakan oleh Allah SWT,kita akan dapati bahawa perlunya kepada penyampaian maklumat yang berhikmah demi menjamin kesatuan masyarakat dalam sesebuah negara.

Islam juga meletakkan prinsip hikmah dalam berkomunikasi. Firman Allah di dalam Al-Quran:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan penuh hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”

[al-Nahl: 125]

Maka secara tidak langsung penyampaian yang berhikmah dan mengikut nilai-nilai murni akan menjadi ikutan masyarakat sekaligus membudayakan acuan Islam dalam kehidupan seharian.
Keperluan Pegangan Taqwa Dalam Penyampaian Maklumat

Krisis sering terjadi apabila saluran maklumat tidak rasmi tidak dikawal dengan nilai murni dan etika yang baik.Oleh kerana demikian, Islam meletakkan taqwa sebagai salah satu keperluan penting dalam setiap penyampaian maklumat agar tidak tersasar daripada matlamat dan tujuan asal sebaran maklumat tersebut.

Takwa bererti sentiasa mengambil langkah berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara dengan mengelakkan diri daripada dosa dan sifat tercela.

Sepertimana apa yang telah berlaku hari ini seluruh dunia kewujudan pelbagai cabang saluran maklumat disiarkan maka jika tiada sifat ketaqwaan dalam diri maka tidak mustahil wujudnya fitnah dan seumpamanya demi kepentingan diri sendiri.Firman Allah SWT :

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

[al-Hujurat: 13]

Ketaqwaan yang didasari acuan keimanan mana mungkin terbentuk sekiranya cara hidup yang diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat tersasar jauh daripada landasan Al-Quran dan Sunnah.

Diatas dasar ini, perlu difahami bahawa gaya hidup berteraskan Islam merupakan sebaik-baik cara yang perlu diaktifkan dalam kehidupan masyarakat tanpa mengira darjat,pangkat, taraf hidup, posisi dan sebagainya kerana kemuliaan disisi Allah SWT bukanlah pada zahirnya namun pada keyakinan Islam merupakan acuan terbaik bagi seluruh manusia.


Disediakan oleh :
Zulhafeez bin Ahmad Zahidi
Ketua Badan Penerangan & Penerbitan
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011
Read more ...

Monday, January 9, 2012

KAHERAH, 9 Jan - Peperiksaan fasa satu bagi mahasiswa mahasiswi di pengajian Islam semakin rancak. Bermula dengan subjek Takhalluf pada awal Januari kemudian terus disusuli dengan subjek-subjek baru bagi setiap kuliah iaitu Syariah Islam, Usuluddin, Bahasa Arab dan Dirasat.

Peperiksaan fasa satu ini berjalan serentak di seluruh cawangan bagi Universiti Al-Azhar, Mesir dan akan berakhir paling lewat pada akhir Januari ini.

Bilangan mahasiswa mahasiswi Islam yang menduduki peperiksaan fasa satu ini dianggarkan lebih 5000 calon mewakili seluruh negeri.

Sebelum ini, PMRAM telah pun mengambil pelbagai inisiatif bagi membantu mahasiswa/wi Islam dalam mencapai kejayaan di dalam akademik.

Antara yang telah dilakukan ialah solat hajat dan motivasi perdana, kelas tambahan berpusat, bengkel kemahiran menjawab soalan, mengatur pembelajaran secara berkumpulan, pelancaran Kempen Membaca dan sebagainya.

Di samping itu, BKAN serta DPM juga telah mengadakan solat hifzi bersempena dengan peperiksaan dan pelbagai aturcara telah disusun untuk menghidupkan suasana pembelajaran antaranya melancarkan kempen Sifar Rasib dan Jom Ke Kuliah.

"PMRAM sangat optimis dalam membantu mencapai kejayaan di dalam akademik. Bahkan ia menjadi salah satu subtajuk dalam ucapan dasar Presiden mengenai kecemerlangan dalam pencapaian akademik. Dengan usaha-usaha yang telah dijalankan sebelum ini, PMRAM meminta semua mahasiswa/wi Islam terus memanjatkan doa agar diberikan kejayaan," ujar Naib Presiden I, Mohd Faizzudin Ghazali.
Read more ...

Saturday, January 7, 2012

Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Allah s.w.t kerana dengan rahmat dan kasih sayangNya kita masih lagi diberi peluang untuk bernafas dan meneruskan kehidupan.

Dengan sifat Ar-Rahman Allah jualah kita yang bergelar mata rantai perjuangan, masih segar menggerakkan idea faham Islam di mana pun kita berada.


Dengan sifat Ar-Rahman Allah jualah dapat saya menukilkan kata-kata sebagai bingkisan buat teman-teman nun jauh di timur tengah sana.


Salam perjuangan dan salam kasih sayang saya ucapkan.

Rakan-rakan mahasiswa yang saya kasihi,


Islam adalah agama penyatuan yang meraikan perbezaan dan mengangkat nilai persamaan. Walaupun kita lahir dari latar belakang yang berbeza sama ada berlainan bangsa, agama, keturunan, jantina atau kedudukan, kita adalah sama nilaiannya di sisi Allah s.w.t.

Hal ini disebut jelas di dalam Al-Quran yang mengangkat nilai persamaan antara manusia sekaligus menganjurkan supaya manusia berkenal-kenalan antara satu sama lain untuk mencapai nilai
kebersamaan dan kesatuan.

Dengan roh penyatuan yang ditiupkan Islam ini, kita bersatu dalam amal Islami yang sama walau jasad jauh berbeza. Praktikalnya amalan daripada penyatuan ini tidak lain adalah terhasil daripada asas kefahaman yang cukup jelas tentang erti sebuah perjuangan sebagai seorang mahasiswa dan penggerak amal Islami sepertimana pernah diungkapkan oleh Saidina ‘Umar al Khattab, seseorang yang mahu menjadi pemimpin mesti terlebih dahulu mendalami Islam “faqihkan dirimu (pelajari dan fahami Islam) sebelum engkau memimpin”.

Sangat beerti ucapan yang pendek ini. Maksudnya, menjadi pemimpin dan pelaksana amal Islami dalam keadaan jahil lalu menurut hawa nafsu amat bahaya sekali. Ia akan menatijahkan kerosakan lebih banyak dari kebaikan. Kerana itu jugalah As Syahid Hasan Al Banna mendahulukan faham sebelum amal, jihad, pengorbanan dan yang lainnya. Jika yang melaksanakan amal dan perjuangan itu jahil dan berpaksikan nafsu, nescaya rosaklah segalanya.


Rakan-rakan yang dihormati,

Masa itu perkara amat bernilai dalam diri kita selaku ummat Islam. Apatah lagi bagi kita jasad-jasad yang masih muda. Masa muda ini bagi kita ibarat masa menanam dan berkebun untuk menuai hasilnya dihujung usia.

Disini, saya kongsikan pesanan Ibnu Qayyim yang berbunyi “Barang siapa yang masanya digunakan untuk Allah dan dengan Allah, bererti masa itu menjadi kehidupan dan umurnya yang sebenar. Jika digunakan untuk selain itu, maka masanya itu tidak dihitung sebagai sebahagian dari kehidupannya, ia hidup seperti haiwan.
Juga ketika ia menggunakan masanya dalam kelalaian, kelupaan dan dalam angan-angan kosong. Perkara mensia-siakan waktu yang paling baik adalah dengan tidur dan tidak bekerja. Maka kematian orang ini lebih baik baginya dari kehidupannya.”

Ambil masa seketika untuk muhasabah sebentar akan masa-masa yang berlalu. Bagaimanakah kita menggunakan masa yang dipinjamkan Allah kepada kita. Ternyata begitu banyak rupanya masa kita berlalu dengan sia-sia. Moga masih ada ruang dalam keterbatasan ini yang mampu kita manfaatkan untuk mempersiap-siagakan diri kita menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat.

Dalam kesempatan ini juga, saya mewakili seluruh kepimpinan Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia dan Sinergi Gerakan Mahasiswi mengucapkan selamat menempuhi peperiksaan dan selamat maju jaya. Semoga setiap amalan dan usaha kita mendapat nilaian di sisi Allah dan juga memberi manfaat kepada agama, masyarakat dan negara.


“Salam perjuangan dari kejauhan”
“Inspirasi Anak Muda”

Rohayu Rusli
Pengerusi,
Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA)
Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS)
Read more ...

Wednesday, January 4, 2012

KAHERAH, 4 Jan - Hal Ehwal Wanita Islam, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir ( HEWI PMRAM ) memandang serius berkenaan isu yang melanda golongan mahasiswa baru-baru ini.

Isu yang berlaku membabitkan mahasiswa di universiti tempatan membuktikan keberanian anak muda di dalam memperjuangkan isu mansuh Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU).

HEWI PMRAM mengucapkan syabas di atas keberanian mahasiswa di Malaysia, dan ianya sekaligus membuktikan suara serta tindakan mahasiswa kini begitu berharga kepada masyarakat di Malaysia.

Mengulas mengenai isu yang berlaku baru-baru ini Saudari Nurain Yaacob , Timbalan Pengerusi HEWI berkata,“ golongan mahasiswa merupakan peringkat emas yang mana mempunya jati diri dan pendirian di dalam melakukan sesuatu perkara. Justeru, perlu dimanfaatkan akan kelebihan dan bakat yang ada kerana mereka ini mencerminkan kegilauan pimpinan akan datang”.

Dalam pada itu juga, barisan kepimpinan HEWI PMRAM menyarankan kepada seluruh mahasiswa Mesir khususnya perlu bangkit dalam mendepani isu semasa dan cabaran masa kini, walaupun sibuk dalam membuat persediaan menghadapi imtihan yang bakal menjelang. Ini kerana, isu semasa bukanlah isu biasa, bahkan merupakan isu ummah, yang perlu dilihat, dikaji dan dianalisa.

Manakala, dibawah unit Penyelidikan, kita telahpun berjaya menjawab beberapa isu antaranya pencerahan mengenai isu hudud, menjawab isu kartunis yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dan hukum menyambut Krismas.

“Mahasiswi kini perlu menjuarai isu dan mengupas isu dengan sebaiknya kerana isu ummah kini memerlukan sumbangan khusus dari kaum hawa,” ujar Saudari Intan Soraya Hashim selaku Ketua Unit Pengetahuan & Penyelidikan HEWI PMRAM.

"Barisan kepimpinan HEWI menyeru kepada seluruh ahli HEWI agar sentiasa mengambil berat tentang isu yang berlaku disamping kesibukan diri bersiap menghadapi imtihan sekaligus ianya juga bakal merealisasikan keberjayaan tema HEWI yang bertunjangkan kekuatan ilmu dan thaqafah,” tambah Saudari Nurain Yaacob selaku Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM.

Read more ...

Monday, January 2, 2012

KEMBARA ILMU KERANA ALLAH
Manusia yang berilmu diangkat Allah darjatnya berbanding mereka yang tidak berilmu.

Insan yang memiliki pengetahuan yang tinggi disanjung manusia walau di mana sahaja berada.

Perkataan mereka dijadikan dalil, semangat mereka dijadikan sumber motivasi,tauladan mereka dijadikan ikutan. Ke mana sahaja menjejakkan kaki, mereka menjadi bualan dan kebanggaan. Bak kata pepatah, dicampak ke darat menjadi gunung, dilempar ke laut menjadi pulau.

Kerana ilmu kita kembara merentas benua, kerana ilmu kita berjauhan daripada keluarga, kerana ilmu kita sanggup meredah apa sahaja.

Tapi, adakah semuanya dinilai sebagai ibadah di sisiNya? Alangkah ruginya jika kita lakukan segalanya hanya mahukan perhatian manusia. Dijulang, disanjung,dihormati tapi di sisi Pencipta Ilmu, ia ibarat debu yang berterbangan dan mengotorkan…

Kita selamanya hidup sebagai penuntut ilmu dan tidak dapat lari daripada peperiksaan. Hakikat peperiksaan bukan sahaja menggunakan pen dan kertas lalu memuntahkan segala yang terbuku di fikiran, kemudian menarik nafas lega setelah meluahkan segalanya, dan terus lupa setelah beberapa ketika.

Hakikatnya, peperiksaan sebenar adalah ketika di hadapan Allah kelak, ketika disoal mengenai bagaimana usia kita dihabiskan.

Dalam kehidupan seharian juga, iman kita diperiksa dengan pelbagai bentuk ujian yang melelahkan jiwa untuk dinilai Allah kekuatan hamba-hambaNya.

Buat sahabat-sahabat seperjuangan di Mesir,
Kembaralah…bertebaran jauh mencari ilmu kerana Allah.
Beramallah…seiring dengan peningkatan ilmu kerana Allah.
Berkhidmatlah…dengan ilmu yang tersimpan di dada kerana Allah.
Semoga semuanya bernilai ibadah...

Selamat menduduki peperiksaan,
Bittaufiq wannajah fil imtihan fiddarain.

~Apabila sesuatu perkara dilakukan kerana dunia, maka ia hanya bersifat tidak kekal dan sementara dan apabila sesuatu dilakukan kerana Allah, maka ia akan bersifat teguh dan ampuh.~

SYAHIRAH SALWA MD HARUN PENGERUSI HEWI, MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR MALAYSIA JORDAN (MPPMJ)
Read more ...
KAHERAH, 2 Dis - Berikutan insiden di UPSI mengenai kekasaran pihak polis ke atas mahasiswa/wi yang berhimpun di UPSI pada malam sambutan tahun baru, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) mengingatkan agar tidak ada mana-mana pihak yang mengeluarkan maklumat yang tidak benar.

Hal ini berikutan laporan yang dikeluarkan oleh Buletin TV3 adalah sangat bertentangan dengan bukti video yang telah tersebar di kalangan ramai samada di Malaysia mahupun di luar negara.

Laporan tersebut yang dinyatakan oleh Ketua Polis Perak, Timbalan Komisioner Datuk Mohd Shukri Dahlan bahawa kecederaan yang dialami oleh mahasiswa terlibat adalah disebabkan perbuatan diri sendiri bukannya daripada kekasaran pihak polis.

PMRAM mengecam laporan palsu sedemikian kerana ia dikira sebagai menipu masyarakat .

"Bukti video yang tersebar jelas menunjukkan kepada masyarakat umum bahawa berlaku kekasaran ke atas Saudara Safwan dan mahasiswa lain yang tercedera. TV3 mesti memohon maaf serta menarik semula laporan tersebut kerana ia bertentangan dengan fakta yang sebenar," ujar Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Abdul Aziz Ali.

PMRAM mendesak agar Ketua Polis Perak, Timbalan Komisioner Datuk Mohd Shukri Dahlan menarik balik laporan tersebut serta memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan.

PMRAM sekali lagi menyifatkan bahawa kekasaran ke atas mahasiswa dalam insiden UPSI merupakan satu kezaliman yang mesti diadili kerana pihak polis sepatutnya menjaga keharmonian serta memberikan keselamatan kepada masyarakat bukannya menindas.
Read more ...

Friday, December 30, 2011

Mencapai Kejayaan Mencipta Kegemilangan


KAHERAH, 30 Dis - Bahang kehangatan peperiksaan semakin dirasai oleh mahasiswa Islam di perlembahan Nil ini namun begitu usaha dan tawakal perlu diteruskan dalam menjamin kejayaan yang cemerlang kelak
Biarpun Mesir masih dalam pergolakan politik bukanlah alasan untuk tidak berusaha dan hanya berserah kerana selagimana ada ruang waktu sebelum memasuki dewan peperiksaan .

Sejajar dengan tema HEWI PMRAM pada sesi ini “ Akademik Cemerlang Mahasiswa Gemilang” pelbagai alternatif dalam merealisasikan misi tersebut.

“ Aktiviti yang berkaitan dengan peningkatan akademik mahasiswa telah direncanakan ke seluruh peringkat samada PMRAM Pusat sehinggalah PMRAM Cawangan demi memastikan kualiti akademik mahasiswa Islam dipertingkatkan untuk menjana kejayaan gemilang ” ujar Saudari Nurain Yaacob,Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Wanita Islam Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir ( HEWI PMRAM 2011).

Antara inisiatif PMRAM yang dijalankan bawah kendalian Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa PMRAM 2011 adalah kelas tambahan untuk mahasiswa dan program penerangan setiap subjek sebagai pendedahan awal kepada mahasiswa.

Turut sama dalam pementasan wadah perjuangan mahasiswi di Malaysia Pengerusi Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) Saudari Rohayu binti Rusli mengharapkan kepada mahasiswi Mesir katanya “ Setiap peluang dan ruang waktu yang diberikan kepada kita perlu dimanfaatkan sewajarnya agar dapat membina generasi muslimah yang berilmu dan dipermudahkan segalanya dalam menghadapai peperiksaan yang bakal menjelang tiba”.

Wakil kepimpinan Hal Ehwal Wanita, Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (HEWI MPPMJ) Saudari Syahira Salwa binti Md Harun juga turut mengingatkan “ Mahasiswi perlu mengaplikasikan segala ilmu yang dipelajari dan ianya merupakan satu ibadah dalam mencari keredhaan Allah SWT " ujarnya ketika dihubungi .

Read more ...

Thursday, December 29, 2011


KAHERAH, 29 Dis – Bagi meneruskan lagi kesinambungan Misi Mumtaz Imtihan bagi mahasiswa Islam di Perlembahan Nil ini, PMRAM di bawah Badan dan Unit Pendidikan & Komunikasi Bahasa PMRAM 2011 telah menganjurkan satu Imtihan Tajribi (Peperiksaan Percubaan) khusus bagi mahasiswi Tahun Satu Pengajian Islam Universiti al-Azhar semalam.

Peperiksaan yang bermula pada jam 1—3petang itu telah diadakan di Rumah Pahang bagi Syu’bah Syariah Islamiah dan Rumah Selangor bagi Syu’bah Usuluddin dan Bahasa Arab.

Inisiatif ini adalah merupakan salah satu agenda pendidikan yang mana bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswi baru berkenaan bentuk dan tahap soalan peperiksaan di Universiti Al-Azhar.

Selain itu juga turut diselitkan dengan pembentangan jawapan dan cara menjawab soalan yang betul daripada panelis jemputan bagi setiap syu’bah selepas selesai sesi menjawab soalan.

Secara tidak langsung dapat memberikan gambaran awal kepada mereka dari sudut soalan dan cara menjawab yang betul.

Hanya satu subjek sahaja yang dipilih dari setiap syu’bah dalam Imtihan Tajribi ini. Bagi Syu’bah Syariah, subjek yang menjadi pilihan ialah Tarikh Tasyri’ dan bagi Syu’bah Usuluddin pula ialah subjekh Mantiq manakala Syu’bah Bahasa Arab ialah Adab Jahili.

“ PMRAM sentiasa optimis dalam memastikan kejayaan mahasiswa di bumi Anbiya’ ini. Justeru PMRAM berharap agar imtihan yang dilaksanakan ini mampu membantu para mahasiswi dalam meningkatkan lagi mutu persediaan di samping menambah keyakinan mereka untuk menghadapi imtihan yang bakal tiba tidak lama lagi”, ujar Saudari Shazazierra binti Sharif Ketua Unit Pendidikan dan Komunikasi HEWI PMRAM 2011.
Read more ...

Wednesday, December 28, 2011

KAHERAH, 28 Dis - Arus perdana hari ini terus mengecapi peningkatan kemajuan seiring dengan teknologi masa kini. Dunia perfileman juga tidak kurang hebatnya dengan penghasilan filem daripada pelbagai latar cerita demi menghidupkan suasana persaingan yang sihat.

Namun begitu, keghairahan pembikin filem tempatan dalam menghasilkan cerita perlu diingat bahawa setiap hasil yang dipertonton itu akan memcerminkan nilai murni budaya masyarakat apatah lagi Malaysia juga salah sebuah negara Islam.

Maka konsep penapisan filem yang dipraktikkan di Malaysia perlulah dipantau dengan sebaiknya agar nilai murni dan budaya masyarakat Islam tidak dinodai oleh pelbagai unsur-unsur negatif akhirnya mencemarkan nama baik agama dan bangsa.

Ekoran terdapat suara-suara yang menggesa untuk dikaji semula melaluai kenyataan yang dikeluarkan tempoh hari. Lembaga Penapis Filem (LPF) menjelaskan mengenai “konsep penapisan baru” yang akan dilaksanakan, bahawa pihaknya masih tetap bertanggungjawab terhadap penapisan semua filem sebelum ditayangkan di Malaysia selepas urusan tapisan itu dilaksanakan sendiri oleh pihak industri filem mulai tahun 2012.

Melihat kepada objektif penubuhan LPF, badan ini jelas ditubuhkan untuk menapis kandungan rakaman filem dan video bagi tayangan di Malaysia.

Badan ini ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Akta Filem (Penapisan) 1952 (disemak tahun 1971) dengan tujuan "menjaga keselamatan negara dan keharmonian kaum serta melindungi kepentingan negara dan rakyat daripada pengaruh buruk dan unsur-unsur negatif".

HEWI PMRAM juga turut melahirkan rasa kebimbangan sekiranya tiada lagi urusan penapisan di lakukan di Malaysia sekaligus memungkinkan berlaku penyerapan unsur yang tidak sepatutnya dipertontonkan dikhalayak ramai.

Antara kesan yang besar kepada masyarakat adalah peningkatan gejala sosial dikalangan remaja yang berpunca daripada sajian hiburan yang diberikan tanpa diteliti terlebih dahulu setiap penyampaian hiburan tersebut.

Malaysia bukanlah seperti negara-negara barat yang bebas memaparkan video atau filem yang tidak bermoral bahkan penduduknya secara majoriti adalah beragama Islam.

Sewajarnya filem-filem yang ditayangkan mestilah bersesuaian dengan berkonsepkan sebuah negara Islam yang mana lebih menitik beratkan mengenai pendekatan yang baik dan berkesan kepada masyarakat.

“ Kita juga mengharapkan agar Lembaga Penapis Filem (LPF) lebih mengambil serius bagi membaiki kemasukan filem-filem yang berunsur lucah dan negatif kerana ianya mampu merencatkan identiti budaya timur dan menghakis nilai-nilai Islam ” ujar Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM Nurain Yaacob ketika diminta mengulas isu tersebut.

Barisan kepimpinan HEWI PMRAM juga mengharapkan agar kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) itu semalam sejajar dengan tindakan mereka dan misi tersebut dapat direalisasikan seiring dengan tuntutan Islam.

Read more ...
KAHERAH, 28 Dis - PMRAM terus memperkukuhkan hubungan kerjasama dengan pihak Markaz Nil. Satu pertemuan dilakukan dengan antara pihak PMRAM dengan Markaz Nil bagi membincangkan kerjasama dalam halatuju perkembangan kecemerlangan penguasaan bahasa arab di kalangan mahasiswa/wi Malaysia khususnya.

PMRAM diwakili oleh Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman dan Ketua Badan Pendidikan Dan Komunikasi Bahasa, Saudara Ahmad Daniel dengan Mudir bahagian Majalah Hira', Encik Mahmood Al-Hijazi. Pertemuan tersebut dilakukan di bilik mesyuarat Markaz Nil, Hayyu Sabie'.

Hasil perbincangan tersebut, tempahan untuk Majalah Hira' kini dibuka dengan harga LE 50 setahun sebanyak 6 jilid. Tempahan tersebut boleh dibuat melalui exco Pendidikan cawangan masing-masing atau terus melalui Ketua Badan Pendidikan Dan Komunikasi Bahasa, Saudara Ahmad Daniel di talian 201116896290 atau Ketua Unit Pendidikan Dan Komunikasi Bahasa, Saudari Shazazierra Sharif di talian 201112871396.

Di akhir pertemuan tersebut, pihak Markaz Nil mengucapkan terima kasih kepada pihak PMRAM kerana banyak membantu dalam meningkatkan penguasaan bahasa Arab di kalangan mahasiswa/wi Malaysia.
Read more ...

Tuesday, December 27, 2011

Imtihan Tajribi PMRAM 2011


Bagi meneruskan Misi Mumtaz Imtihan, PMRAM di bawah Badan & Unit Pendidikan & Komunikasi Bahasa akan mengadakan Imtihan Tajribi khusus buat mahasiswa Pengajian Islam Tahun 1 pada 28 Disember 2011 bertempat di Rumah Pahang bagi mahasiswi Syukbah Syariah dan Rumah Selangor bagi mahasiswi Syukbah Usuluddin & Bahasa Arab.

Jangan lepaskan peluang untuk menjayakannya sebagai langkah permulaan bagi persediaan menghadapi imtihan yang bakal menjelang tiba.

"Akademik Cemerlang Mahasiwa Gemilang"

"Kesatuan Ukhuwah Manifestasi Tarbiyah"



Read more ...

Lagu Rasmi PMRAM